Tuesday, November 11, 2008

kosmo..

NEGARA
Tragedi 'darah manis' - Bakal pengantin maut motosikal rempuh kereta
Oleh MOHD. TURMADZI MADUNturmadzi.madun@kosmo.com.my
SHARIFAH SHARMILA menunjukkan gelang tangan adiknya, Syed Mohd. Shahrizal yang mati terlanggar kereta yang membuat pusingan U di Jalan Loke Yew semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang wanita tidak menyangka sikap sambil lewa adiknya menjelang detik-detik perkahwinannya merupakan petanda dia akan pergi buat selama-lamanya. Adiknya itu terbunuh dalam kemalangan di Jalan Loke Yew di sini semalam.
Sharifah Sharmila Syed Sahari, 36, berkata, adiknya, Syed Mohd. Shahrizal, 21, menyerahkan segala urusan persiapan termasuk membeli barang hantaran kepadanya bulat-bulat ketika hari pernikahan hanya tinggal 14 hari sahaja.
Menurut wanita itu, dia bagaimanapun semasa itu tidak menyangka apa-apa walaupun terasa agak pelik dengan sikap adiknya.
"Dari menempah baju Melayu untuk hari pernikahan hingga membeli barangan hantaran kepada pihak perempuan semuanya diserahkan kepada saya.
"Sehingga semalam (kelmarin) semuanya telah selesai dibeli kecuali set minyak wangi yang akan dibeli kemudian," katanya menahan sedih ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur di sini semalam.
SYED MOHD. SHAHRIZAL
Syed Mohd. Shahrizal yang membonceng motosikal rakannya, Azizul Othman, 21, maut apabila ia berlanggar dengan sebuah kereta Proton Saga yang membuat pusingan U di tempat yang tidak dibenarkan di jalan tersebut.
Ketika kejadian pukul 3 pagi itu, anak bongsu daripada lima beradik tersebut bersama empat lagi rakannya yang menaiki tiga buah motosikal dalam perjalanan pulang ke Hulu Langat selepas makan di sebuah restoran di Wangsa Maju.
Cerita Sharifah Sharmila, sebelum Shahrizal keluar pada hari tersebut, dia dan adiknya itu telah pergi ke sebuah kedai di Kajang untuk membeli baju Melayu.
Bagaimanapun katanya, hasrat untuk membeli baju itu terpaksa dibatalkan kerana adiknya gagal memastikan warna yang sepadan dengan baju bakal isterinya menyebabkan mereka pulang semula ke rumahnya di Taman Impian Ehsan, Balakong.
"Shahrizal kemudian telah keluar semula untuk bertemu dengan Azizul dan itu merupakan kali terakhir saya melihatnya sebelum mendapat panggilan polis pukul 3 pagi memaklumkan adik saya terlibat dalam kemalangan," katanya.
Katanya, adiknya dijangka melangsungkan perkahwinannya dengan gadis Mersing, Rohaya Kamarudin, 24, pada 23 November ini.

No comments: