Thursday, May 14, 2009

Rahmat untuk suami isteri yang bangun malam


Kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang merupakan impian setiap insan bukanlah sekadar terletak pada nilaian harta benda dan wang ringgit. Banyak rumah tangga yang hancur kerana mengikut teori kebahagian sendiri. Mereka menyangkakan wang adalah segala-galanya... Namun setelah memperolehi semuanya itu, rumah tangga masih tidak bahagia. Suami isteri tidak mesra. Bahkan sentiasa berkrisis, bermasam muka dan berburuk sangka. Hubungan ibu bapa dan anak-anak renggang.Justeru itu, kebahagiaan bukan terletak kepada material semata-mata, yang paling utama ialah pimpinan suami itu sendiri. Suami perlu mendidik isteri ke arah mencapai cinta Allah, cinta agama dan cinta akhirat. Cinta kepada Tuhan akan mendorong seseorang itu untuk berbuat kebaikan demi mencari redha Allah SWT.Setiap pasangan perlu saling bantu-membantu untuk memajukan diri mencari keredhaan Allah terutama sekali pada waktu keheningan malam. Allah SWT berfirman yang bermaksud, “Dan bantu-membantulah kamu dalam kebaikan dan takwa, janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan pelanggaran.” (Surah Al-Maidah, ayat 2)Malah Rasulullah SAW sangat suka kepada suami isteri yang saling bantu-membantu dalam ketaatan, rukuk dan sujud dalam kegelapan malam ketika semua manusia tidur dengan lenanya. Itulah sebenarnya petua kebahagiaan dunia dan akhirat.Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a., katanya, Rasulullah SAW bersabda, “Mudah-mudahan Allah merahmati seorang suami yang bangun pada tengah malam lalu mengerjakan solat dan membangunkan isterinya sama-sama melakukan solat. Sekiranya dia enggan, maka dipercikkannya ke wajahnya. Mudah-mudahan Allah merahmati seorang isteri yang bangun tengah malam untuk mengerjakan solat dan juga membangunkan suaminya, jika dia enggan, maka dipercikkanlah air ke mukanya.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)Menerusi hadis di atas jelaslah kepada kita betapa indahnya saat-saat seorang suami membangunkan isterinya dengan lemah-lembut seperti memercikkan air ke mukanya pada tengah malam supaya sama-sama melakukan ibadat kepada Allah SWT apatah lagi jika anak-anak dapat ikut serta.Betapa sayunya hati ketika ini mengenali dosa-dosa yang telah dilakukan. Air mata menitis tanda keinsafan. Zikir dialunkan tanda kesyukuran. Doa dipanjatkan memohon kesejahteraan keluarga dunia dan akhirat. Kebahagiaan seperti inilah akan melahirkan jiwa yang tenang, aman damai, tiada ketakutan, tiada kebimbangan malah berada di dalam keadaaan redha dan diredhai Allah dunia dan akhirat.Ini jelas dalam firman Allah SWT yang bermaksud, “Wahai jiwa yang tenang kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu redha dan diredhai. Masuklah dalam hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah Al-Fajr, ayat 27-30)Diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Abu Said r.a. katanya: Rasulullah SAW bersabda, “Apabila seorang suami membangunkan isterinya pada waktu malam kemudian mereka mengerjakan solat dua rakaat, maka mereka termasuklah atau tergolonglah ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah.” (Hadis Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)Kelebihan bertahajudAntara amalan-amalan yang boleh menyelamatkan manusia dari azab akhirat ialah sentiasa bertahajud dan berqiyamullail. Rasulullah SAW bersabda, ada sembilan kelebihan bagi orang yang bertahajud.Lima ketika di dunia:
Terselamat daripada beberapa bencana
Berkat ke atasnya akan jelas diwajahnya
Disukai oleh hamba Allah
Ucapannya penuh hikmah
Dijadikan orang yang bijaksana
Empat ketika di akhirat:
Dipimpin dari kubur dengan muka berseri-seri
Diringankan hisabnya
Meniti titian sirat seperti kilat
Menerima buku catatatan amal dari tangan kanan
Oleh itu, luangkan masa untuk bermunajat kepada-Nya agar tidak timbul penyesalan pada hari
kemudian..INSYALLAH..

Sumber : KOLEKSI ANIS, Ustazah Siti Bahyah Mahamod di GaleriIlmu
¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤¤

Firman Allah SWT :[7:179] Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka Jahanam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.

No comments: